Saturday, February 12, 2011

Adakah wajar BTN diminta olah semula kurikulumnya

KUALA LUMPUR, 13 Feb :PAS mendesak Biro Tata Negara (BTN) agar mengolah semula kurikulum yang selalu mengasak para peserta kursusnya agar bimbang dan takut bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik di negara ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika menyertai forum 'Masa Depan Kepimpinan Melayu' di Putra Word Trade Centre (PWTC) lewat petang semalam berkeyakinan penuh kuasa Melayu akan kekal sekurang-kurangnya 50 tahun lagi.

Saranan ini dikemukakan Mustafa di hadapan lebih 1,000 peserta Simposium Dilema Melayu yang dianjurkan oleh lepasan pelajar pro Aspirasi yang didokong sepenuhnya oleh Umno.

Turut menjadi penal adalah Tan Isa Samad (Pengerusi Felda) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah bekas Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Turut berada di dewan ketika itu adalah Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali serta Datuk Seri Shahidan Kasim, bekas Menteri Besar Perlis di samping lain-lain pemimpin Umno.
Media telah dilarang masuk ke program ini namun wakil Harakahdaily yang mengiringi Mustafa telah dibenarkan masuk.

Menurut Mustafa, cara BTN memberikan indoktrinasi kepada para pelajar kononnya jika Melayu tidak bersatu di bawah Umno, kuasa Melayu akan hilang adalah tidak benar.

"Jika Melayu tidak bersama Umno, mereka akan bersama PAS, iaitu masih kekal di tangan orang Melayu," katanya di majlis itu yang disambut tepukan gemuruh dari para pelajar universiti yang menjadi peserta program itu.

Mustafa berkata, dengan kerusi Melayu sebanyak 112 dari 222 kerusi semuanya, tidak ada sebab untuk kuasa Melayu di negara ini hilang kecuali Umno sebagai pihak yang berkuasa sekarang terus mengecilkan kerusi orang Melayu sebagaimana yang dibuatnya pada tahun 2003.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003, kerajaan yang dikuasai Umno tidak menambah sebarang kerusi Parlimen untuk negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis iaitu negeri-negeri yang ramai orang Melayu.

Padahal negeri-negeri lain telah mendapat penambahan kerusi Parlimen yang sangat ketara.

"Apabila saya, ketika itu mewakili PAS yang memimpin kerajaan negeri Terengganu, berbincang dengan SPR, mereka kata akan menambahkan sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen untuk Terengganu.

"Tetapi apabila ia dibentangkan di Parlimen, tidak ada satu pun kerusi Parlimen ditambah di empat negeri orang Melayu tersebut.

"Alasannya Umno bimbang kalau-kalau kerusi-kerusi itu dimenangi oleh PAS, ia akan merugikan Umno. Ini semua berlaku kerana Umno berfikir dari segi kepentingan politiknya semata-mata (bukan Melayu sebagaimana yang dikatakannya)," kata Mustafa.

Dalam seminar itu juga, Mustafa mengajak semua peserta simposium itu yang semuanya orang Melayu agar kembali kepada Islam kerana Islam penuh dengan nilai yang akan menaikkan kualiti orang Melayu.

No comments:

Post a Comment