Saturday, February 12, 2011

ADUN Kerdau Meninggal Dunia

KUANTAN, 12 Feb – Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim meninggal dunia selepas terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di rumahnya di Kerdau, petang ini.








Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang.
“Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,”.
Zaharuddin sebelum ini pernah dua kali dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengalami komplikasi buah pinggang dan jantung serta tekanan darah tidak stabil pada Mei dan November tahun lepas.
Zaharuddin juga pernah menerima rawatan lebih dua bulan di Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HOSHAS pada Mei lepas.
Sementara itu, anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin yang terjatuh di dalam bilik air di rumahnya itu telah dibawa ke HOSHAS dan dimasukkan di unit rawatan rapi, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan.
“Menurut pembantunya, Datuk Zaharuddin sebelum itu mengadu sakit perut dan pembantunya membawanya ke bilik air, tiba-tiba beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di HOSHAS di sini.
Ismail berkata Allahyarham ketika itu sedang bersiap-siap untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di Temerloh.
Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram, Kerdau selepas Zohor esok.
Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.
SUMBER - MEDIAUMNO

No comments:

Post a Comment